Friday, January 29, 2010

Web Bukan Teknikal

Saya selalu mendapat peluang berbincang tentang pengurusan laman Web dengan pengendali-pengendali Web. Antara maklumat yang saya perolehi adalah masalah-masalah yang mereka hadapi dalam mengurus laman Web. Rumusan saya: Web selalu disalah-erti sebagai "teknikal" teutama oleh pihak pengurusan - yang perlu dikendalikan oleh jabatan IT.

Laman Web mempunyai peranan yang sangat besar bukan setakat meletakkan berita, maklumat dan perkhidmatan online. Laman Web adalah wajah sesebuah organisasi. Ianya adalah platform "branding", "advertising" dan "marketing". Pengguna membuat penilaian tentang sesebuah organisasi dengan melayari laman Web.

Oleh kerana itulah "ownership" sesebuah laman Web tidak sepatutnya dipegang oleh jabatan IT. Jika bukan IT, siapa? Bagi saya, yang paling sesuai adalah mereka yang selalu berdepan dengan pengguna dan penjaga imej sesebuah organisasi iaitu Jabatan Komunikasi Korporat atau Khidmat Pelanggan. Anda setuju?

Friday, January 8, 2010

"Common Sense is Not Common"

Semasa bekerja disyarikat lama, ada satu pepatah yang selalu disebut oleh boss saya : "Common Sense is Not Common". Maksudnya secara umum - apa yang kita rasakan mudah berdasarkan logik akal sebenarnya tidak dikongsi oleh semua orang. Contoh yang saya gemar gunakan ialah laman Web.

Bagaimana kita hendak memastikan laman Web dapat digunakan dengan mudah oleh pengguna? Jawapannya: dengan memastikan ianya mesra pengguna. Caranya? Dengan menggunakan amalan-amalan terbaik ("best practices") yang kebanyakkannya adalah sebenarnya "common sense".

Contohnya, jika anda mahu pengguna laman Web anda membaca sesuatu pengumuman penting, pastikan teks hebahan tersebut tidak bergerak atau berkelip-kelip. Itulah "common sense". Jika ianya bergerak (laju atau perlahan bukan soalnya) atau berkelip-kelip (dengan laju dan menggunakan warna teks merah!), bagaimana pengguna anda hendak membaca hebahan tersebut dengan mudah? Penggunaan amalan-amalan terbaik Web memastikan laman Web anda berkesan. Dan dari mana asal amalan-amalan terbaik tersebut? "Common sense"!

Monday, January 4, 2010

Tahun Baru, Laman Web Baru?

Tahun baru adalah masa yang sesuai untuk melancarkan sesuatu yang baru - contohnya rekabentuk laman Web yang baru, perkhidmatan online yang baru, dan bermacam-macam lagi. Pembaharuan memang bagus, tetapi janganlah terlalu drastik sehingga pengguna anda keliru. Sebagai contoh, jika kotak login laman Web anda sebelum ini berada dibahagian atas kiri, janganlah terus mengubahnya ke kanan bawah. Pengguna yang biasa dengan kedudukan sebelumnya mungkin menghadapi masalah untuk mencari kotak login tersebut.

Saya selalu berpesan di seminar yang saya anjurkan - pada laman Web, "bosan" itu bagus sebenarnya. Google mempunyai rekabentuk yang sangat membosankan - sekali-sekala ikonnya mungkin berubah mengikut peristiwa semasa - tetapi ianya digunakan boleh beratus-ratus juta pengguna sehari. Jadi, yang penting bagi sesebuah laman Web adalah kandungan dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah mesra-pelanggan, mudah digunakan dan memenuhi keperluan pengguna.

Selamat Tahun Baru!