Friday, January 29, 2010

Web Bukan Teknikal

Saya selalu mendapat peluang berbincang tentang pengurusan laman Web dengan pengendali-pengendali Web. Antara maklumat yang saya perolehi adalah masalah-masalah yang mereka hadapi dalam mengurus laman Web. Rumusan saya: Web selalu disalah-erti sebagai "teknikal" teutama oleh pihak pengurusan - yang perlu dikendalikan oleh jabatan IT.

Laman Web mempunyai peranan yang sangat besar bukan setakat meletakkan berita, maklumat dan perkhidmatan online. Laman Web adalah wajah sesebuah organisasi. Ianya adalah platform "branding", "advertising" dan "marketing". Pengguna membuat penilaian tentang sesebuah organisasi dengan melayari laman Web.

Oleh kerana itulah "ownership" sesebuah laman Web tidak sepatutnya dipegang oleh jabatan IT. Jika bukan IT, siapa? Bagi saya, yang paling sesuai adalah mereka yang selalu berdepan dengan pengguna dan penjaga imej sesebuah organisasi iaitu Jabatan Komunikasi Korporat atau Khidmat Pelanggan. Anda setuju?

Friday, January 8, 2010

"Common Sense is Not Common"

Semasa bekerja disyarikat lama, ada satu pepatah yang selalu disebut oleh boss saya : "Common Sense is Not Common". Maksudnya secara umum - apa yang kita rasakan mudah berdasarkan logik akal sebenarnya tidak dikongsi oleh semua orang. Contoh yang saya gemar gunakan ialah laman Web.

Bagaimana kita hendak memastikan laman Web dapat digunakan dengan mudah oleh pengguna? Jawapannya: dengan memastikan ianya mesra pengguna. Caranya? Dengan menggunakan amalan-amalan terbaik ("best practices") yang kebanyakkannya adalah sebenarnya "common sense".

Contohnya, jika anda mahu pengguna laman Web anda membaca sesuatu pengumuman penting, pastikan teks hebahan tersebut tidak bergerak atau berkelip-kelip. Itulah "common sense". Jika ianya bergerak (laju atau perlahan bukan soalnya) atau berkelip-kelip (dengan laju dan menggunakan warna teks merah!), bagaimana pengguna anda hendak membaca hebahan tersebut dengan mudah? Penggunaan amalan-amalan terbaik Web memastikan laman Web anda berkesan. Dan dari mana asal amalan-amalan terbaik tersebut? "Common sense"!

Monday, January 4, 2010

Tahun Baru, Laman Web Baru?

Tahun baru adalah masa yang sesuai untuk melancarkan sesuatu yang baru - contohnya rekabentuk laman Web yang baru, perkhidmatan online yang baru, dan bermacam-macam lagi. Pembaharuan memang bagus, tetapi janganlah terlalu drastik sehingga pengguna anda keliru. Sebagai contoh, jika kotak login laman Web anda sebelum ini berada dibahagian atas kiri, janganlah terus mengubahnya ke kanan bawah. Pengguna yang biasa dengan kedudukan sebelumnya mungkin menghadapi masalah untuk mencari kotak login tersebut.

Saya selalu berpesan di seminar yang saya anjurkan - pada laman Web, "bosan" itu bagus sebenarnya. Google mempunyai rekabentuk yang sangat membosankan - sekali-sekala ikonnya mungkin berubah mengikut peristiwa semasa - tetapi ianya digunakan boleh beratus-ratus juta pengguna sehari. Jadi, yang penting bagi sesebuah laman Web adalah kandungan dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah mesra-pelanggan, mudah digunakan dan memenuhi keperluan pengguna.

Selamat Tahun Baru!

Wednesday, December 30, 2009

Corak Bacaan Laman Web

Pernahkah anda terfikir bagaimana corak bacaan seseorang ketika membaca sesebuah laman Web? Maklumat ini perlu anda tahu terutamanya jika anda seorang pengendali atau mempunyai laman Web.

Kajian saintifik tentang corak bacaan telah dijalankan oleh pelbagai pihak, antara yang popular adalah kajian oleh Nielsen Norman Group pada tahun 2006 yang sehingga kini menjadi rujukan utama. Kajian pengesanan mata ("eye tracking") dijalankan keatas 232 pengguna mendapati secara umumnya pengguna Internet membaca laman Web mengikut corak bacaan dominan berbentuk "F" mengikut komponen berikut:
  1. Pengguna membaca secara melintang (“horizontal movement”) pada bahagian atas laman Web.
  2. Kemudian, cara bacaan menurun sedikit – garisan melintang kedua (“second horizontal movement”) dan selalunya merangkumi kawasan lebih pendek.
  3. Akhirnya, pengguna mengimbas (“scan”) bahagian kiri secara menegak (“vertical movement”).
Hasil kajian yang menarik bukan? Anda boleh menggunakan hasil kajian tersebut untuk menyusun-atur kandungan laman Web anda agar lebih berkesan.

Monday, December 28, 2009

"Complexity" vs "Simplicity"

Mengapa Web menjadi popular dalam jangkamasa yang singkat? Antara sebab utama ialah ianya mengurangkan kerumitan ("complexity") – maklumat dan perkhidmatan dihujung jari. Web membolehkan kita membuat keputusan dengan cepat. Web membuat kehidupan kita menjadi lebih mudah.

Tetapi sesetengah organisasi mempunyai keinginan tinggi untuk menunjukkan kuasa dan bertapa perlunya kewujudan mereka. “Complexity” adalah cara untuk mewujudkan pekerjaan. “Complexity” juga adalah cara untuk menunjukkan kepakaran organisasi tersebut.

Tetapi, Web mengancam kewujudan “complexity” kerana ianya adalah mengenai sistem layan diri (“self-service”) dan layan diri adalah berdasarkan konsep “mudah” (“simplicity”). Laman Web yang bagus adalah mudah, bukan kerana mudah adalah sesuatu yang senang untuk dilaksanakan, tetapi kerana mudah adalah satu keperluan penting untuk memastikan kejayaan sesebuah laman Web.

Fokus pada kehendak pelanggan sepatutnya adalah hala tuju sebenar laman Web yang menawarkan perkhidmatan dan maklumat. Dan memastikan laman Web anda mudah menjadikan ianya lebih efektif. Jika anda fikir menjadikan laman Web nampak kompleks menunjukkan organisasi nampak hebat, anda sebenarnya salah. Memenuhi kehendak pelanggan dengan memastikan mereka boleh mengakses perkhidmatan dan maklumat dengan mudah dan cepat – itu yang menjadikan laman Web anda hebat.

Thursday, December 24, 2009

Berkhidmatlah Untuk Pengguna Anda

Tidak lama dahulu saya memerlukan maklumat segera tentang syarat-syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan dari sebuah majlis perbandaran. Cara yang paling mudah sudah tentulah dengan mengakses laman Web mereka. Seperti yang anda jangkakan - maklumat tersebut tiada di laman Web. Jadi, saya terpaksa membuat panggilan telefon dan disuruh pergi ke pejabat mereka untuk mendapatkan dokumen tersebut. Saya cuba mendapatkan pegawai yang dihubungi untuk memberi penerangan melalui telefon, tetapi saya diberitahu - "datang ke pejabat dan dapatkan dokumen".

Pernahkah anda melalui pengalaman ini? Saya rasa anda tentu pernah bukan? Untuk mendapatkan penerangan dan dokumen tersebut saya perlu memandu ke pejabat mereka, menempuh kesesakan lalu lintas, mencari dan membayar pakir. Kalaulah penerangan dan dokumen tersebut ada di laman Web mereka, sudah tentu saya tidak perlu bersusah payah hampir separuh hari semata-mata untuk untuk mendapatkan borang (yang tidak sampai 10 helai) dan penerangan dari pegawai selama hanya 5 minit.

Jika anda tertanya apa kandungan yang ada didalam laman Web mereka? Antaranya adalah maklumat tentang organisasi mereka, berita (tentang apa yang berlaku didalam organisasi mereka), penerangan tentang logo dan lirik lagu rasmi, piagam pelanggan (yang menekankan perkhidmatan pelanggan mereka yang terbaik), serta visi dan misi. Tidak satu pun dari maklumat tersebut dapat membantu saya didalam permasalahan saya iaitu syarat-syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Sesebuah laman Web adalah umpama kaunter khidmat pelanggan maya (virtual customer service counter). Maklumat dan perkhidmatan yang ditawarkan perlulah menepati kehendak pengguna. Laman Web bukanlah medium kedua (secondary) yang hanya diurus jika ada masa terluang. Ianya adalah medium alternatif yang semakin meningkat penggunaannya. Ada satu sahaja difikiran saya - berkhidmatlah untuk pengguna anda.

Wednesday, December 23, 2009

Berkomunikasilah Dengan Bahasa Mudah

Menulis kandungan laman Web sebenarnya tidak susah. Hanya satu peraturan penting yang perlu diikuti - tulislah dengan bahasa yang mudah. Maknanya, anda perlu menulis menggunakan bahasa yang senang difahami oleh pembaca anda.

Ini sebenarnya banyak bergantung kepada sasaran pembaca anda. Melainkan jika sasaran pembaca anda ialah satu kumpulan khusus contohnya profesional seperti jurutera, peguam, pakar bahasa dan sebagainya, anda perlu pastikan bahawa kandungan laman Web anda tidak memerlukan pembaca anda mengeluarkan kamus untuk memahami apa yang cuba anda sampaikan.

Mungkin ada yang mengatakan bahasa mudah tidak menarik. Ada orang suka menulis menggunakan ayat yang panjang dan meleret-leret. Bagi mereka jika bahasa tidak nampak susah, ianya tidak profesional. Nasihat saya ialah - jika begitu tulislah novel.

Laman Web bukanlah medium untuk menulis kandungan yang berbelit-belit (bak kata pepatah bahasa Inggeris "beat around the bush"). Pembaca Web mahu membaca maklumat yang ringkas tetapi lengkap.

Berikut adalah beberapa panduan untuk menulis kandungan laman Web menggunakan bahasa yang mudah:
  • Tulis ayat yang pendek: Lebih mudah untuk pembaca untuk memahami ayat yang mudah dan pendek;
  • Gunakan tanda-tanda typografi ("typographical landmarks"): Pembaca Web biasanya membaca dengan cepat menggunakan kaedah imbasan (scan). Mereka hanya akan membaca kandungan yang menarik perhatian mereka. Oleh itu, gunalah tanda-tanda typografi yang sesuai seperti tajuk, bullets, tables dan sebagainya;
  • Konsisten dalam penulisan: Gunakanlah terma-terma, warna, jenis font, dan sebagainya dengan konsisten;
  • Buang perkataan yang tidak perlu: Ianya akan menurunkan tahap kebisingan (noise level) didalam laman Web anda dan menjadikan kandungan penting lebih terserlah, dan memendekkan mukasurat Web.